FAMA wujudkan 29 lagi GBBS di seluruh negara – Ishak

FAMA wujudkan 29 lagi GBBS di seluruh negara – Ishak

PENGERUSI Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail (tengah) hadir pada lawatan kerja ke GBBS Sabindo di Tawau, malam tadi. – Foto BERNAMA

TAWAU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk menambah 29 lagi Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di seluruh negara pada tahun ini, kata Pengerusinya, Ishak Ismail.

Menurut beliau sehingga November tahun lepas terdapat 339 GBBS di seluruh negara dengan nilai jualan untuk tahun lepas sehingga November mencecah RM110 juta.

“Kami akan wujudkan 29 lagi GBBS antaranya dua medan GBBS di Melaka, tiga di Negeri Sembilan dan tiga GBBS diangkat sebagai Agro Khas Pelancongan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur serta Tawau,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke GBBS Sabindo di sini, malam tadi.

Beliau berkata, FAMA juga akan membimbing 10 individu pemilik GBBS dan menaik taraf 14 GBBS sedia ada dengan peruntukan sebanyak RM960,000.

Katanya, ia bertujuan ke arah mewujudkan suasana yang lebih menarik di gerai GBBS dan mampu mengangkat nilai pendapatan usahawan terlibat serta memudahkan orang awam mendapatkan buah-buahan segar.

Ishak berkata, GBBS diperkenal bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan terutamanya pada musim kemuncak selain sebagai tarikan kepada pelancong yang datang ke negara ini.

Katanya buah-buahan yang dijual di GBBS telah melalui proses penggredan yang mempunyai kualiti terbaik.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa lokasi telah dikenal pasti bagi mewujudkan tapak GBBS di negeri ini antaranya di Kota Kinabalu dan Tuaran.

Menurutnya bagi GBBS Sabindo Tawau yang menempatkan 10 usahawan, telah merekodkan pencapaian yang memberangsangkan dengan jumlah hasil pendapatan RM2 juta.

“Saya lihat konsep yang dibuat di sini sangat menarik dan ini akan dijadikan salah satu contoh GBBS di negara ini melalui cara susunan, kebersihan dan label buah yang tersusun,” katanya.

Pada lawatan sama, Ishak turut berkesempatan meninjau Medan Trak Makanan Tawau di bawah Program FAMA di Jalan Bunga Tanjung.

Beliau berkata, terdapat 600 pengusaha Trak Makanan di bawah Program FAMA di seluruh negara dan menyasarkan 700 usahawan Trak Makanan dapat dicapai pada tahun ini. – BERNAMA

Komen