Esscom tembak mati 2 ejen penculik nelayan Sabah

Polis merampas beberapa senjata api dan peluru dalam bot suspek.

 

KUNAK: Pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menembak mati 2 lelaki dipercayai ejen jenayah penculikan untuk wang tebusan (KFR) dalam kejadian berdekatan perairan Pulau Boheyan, malam tadi.

Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata kedua-duanya yang disyaki pendatang tanpa izin berumur lingkungan 50-an, ditembak mati ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah bot pam dalam serbuan pasukan keselamatan di Kampung Air Kunak Tiga pada jam 10.30 malam.

“Semasa Operasi Gasak Khas Esscom dijalankan, bot dinaiki suspek cuba meloloskan diri namun pasukan diketuai ACP Mohd Nasaruddin M Nasir bertindak mengejar bot suspek kira-kira 30 minit dan berlaku berbalas tembakan.

“Mula-mula lampu biru bot polis dinyalakan sebagai memberi amaran kepada suspek supaya berhenti tetapi suspek melepaskan tembakan ke arah bot pasukan polis dan polis membalas tembakan sebelum memintas bot suspek di Pulau Boheyan dan menembak ke arah suspek,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Hazani berkata pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 2 lelaki terbaring dengan kesan tembakan pada badan.

“Polis turut menemui sepucuk pistol jenis revolver .22, 7 butir peluru hidup jenis .22, 1 pucuk pistol jenis revolver .38, 1 butir peluru hidup dan 5 kelongsong .38 serta sebilah pedang samurai,” katanya.

Hazani berkata dalam operasi itu pihaknya turut merampas sebuah bot pam berwarna putih di Kampung Air Kunak Tiga yang disyaki terbabit dalam penculikan 2 nelayan Indonesia pada 11 September lalu di Pulau Gaya, Semporna.

“Siasatan lanjut ke atas bot tertera nama Ainigel dikenal pasti terlibat dalam kes penculikan terbaharu berdasarkan deskripsi mangsa yang selamat.

“Bot ini dipercayai terlibat membuat tinjauan awal di kawasan laut Kunak dan Semporna sebelum berlaku penculikan nelayan dari Kapal Dwijaya,” katanya.

Menurutnya seramai 18 individu ditahan serta 16 bot pam dirampas dalam serbuan yang dilaksanakan bersama Polis Kontinjen Sabah itu.

Dalam pada itu, Hazani bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri supaya semua bot pam didaftarkan dan diberi warna mengikut zon bagi memudahkan pihak keselamatan mengenal pasti asal bot pam terbabit semasa pemeriksaan keselamatan.

“Misalnya kita tahu bot kuning untuk Kunak, biru untuk Kudat dan ada nombor tertentu pasukan keselamatan, Jabatan Laut dan Pelabuhan Dermaga,” katanya menambah langkah itu akan memudahkan pasukan keselamatan mengenal pasti bot pam dari negara jiran.

-Bernama

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *