ESSCOM TAHAN 33 PTI DI LAHAD DATU

ESSCOM TAHAN 33 PTI DI LAHAD DATU

LAHAD DATU: Seramai 33 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam satu operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di empat lokasi berasingan di daerah ini, pada Jumaat.

Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata operasi yang bermula dari jam 8 malam hingga 5 pagi itu disertai oleh kira-kira 65 anggota penguatkuasa, memberi tumpuan terhadap kawasan ladang dan penempatan haram yang disyaki menjadi tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin.

Pemeriksaan sedang dijalankan oleh anggota penguatkuasaan. Gambar SNT/Ehsan Esscom

Antara kawasan yang menjadi tumpuan termasuk Kampung Membantu, Kampung Manar dan Kampung Perpaduan (Bagahak) di daerah kecil Tungku dan kawasan bandar Lahad Datu.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan seramai 158 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 33 orang disyaki pendatang asing tanpa izin telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan serta mempunyai passport yang tamat tempoh.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 30 warga Filipina dan 3 warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan 10-50 tahun.

“Kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta memiliki passport/dokumen yang telah tamat tempoh”.

“Kes akan disiasat dibawa Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/61 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002)”.

“Kesemua tahanan telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin (PPM) untuk tapisan keselamatan sebelum dibawa ke Pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk proses penghantaran ke negara asal mereka”, katanya.

Hazani berkata ESSCOM akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mengurang kehadiran pati di daerah ini yang disyaki menjadi dalang disebalik aktiviti penyeludupan barang-barang bersubsidi dan terlarang seperti minyak petrol, rokok seludup dan Dadah jenis syabu.

“Operasi Bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan sedikit penambahbaikkan bagi mengurang dominasi pati di kawasan-kawasan tertentu seperti di ladang-ladang dan kawasan tumpuan utama seperti bandar dan pasar awam yang dilihat banyak terlibat dalam aktiviti penyeludupan seperti menjual dan mengedar rokok seludup, petrol dan Dadah jenis Syabu”, katanya.

Sementara itu, Hazani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasa yang terlibat bagi menjayakan operasi ini sehingga dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bagi menjayakan operasi ini yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kebajikan dan Angkatan Tentera Malaysia.-SabahNewsToday Oleh Chris Maskilone

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *