ESSCOM TAHAN 12 PATI DALAM OPS GASAK LAUT DI SEMPORNA

ESSCOM TAHAN 12 PATI DALAM OPS GASAK LAUT DI SEMPORNA

SEMPORNA (13 Julai) – Sebanyak 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi gasak laut yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di daerah ini awal pagi tadi.

Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan di sini berkata, operasi yang bermula dari pukul 5.30 pagi – 8.00 pagi memberi tumpuan terhadap perumahan atas air atau penempatan yang dikenali sebagai pondohan yang didirikan secara haram di kepulauan nusa 3.

Katanya, dalam operasi berkenaan sebanyak 25 orang pendatang asing telah diperiksa dan setelah tapisan keselamatan dijalankan oleh Jabatan Imigresen, seramai 12 orang daripadanya telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 12 orang lelaki dewasa berumur antara 11 tahun hingga 70 tahun.”

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63”.

“Kesemua PATI yang ditahan akan dihantar ke pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.

Hazani berkata operasi pada kali ini bertujuan untuk membersihkan pondohan-pondohan haram ini daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk mengesan dan menahan PATI yang disyaki terlibat dengan aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bahan letupan.

Selain itu, menurutnya lagi, operasi ini juga diadakan bagi mengekang dan mengawal kewujudan pondohan-pondohan yang semakin berkembang dan berleluasa bagi mengekalkan keadaan harmoni serta terkawal.

“Hasil daripada maklumat, kita dapati pondohan-pondohan ini disyaki menjadi tempat persembunyian dan staging point penjenayah rentas sempadan untuk melakukan jenayah penculikan dan penyeludupan barang-barang kawalan dan bersubsidi di sekitar daerah ini. Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu mengawal dan mengekang pembinaan pondohan-pondohan haram ini daripada terus dibina oleh PATI”, katanya.

Sementara itu, operasi yang telah disertai oleh 104 anggota keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Komen