ESSCOM PERGIAT OPERASI BERSEPADU (OB) BANTERAS PTI DI ESSZONE

ESSCOM PERGIAT OPERASI BERSEPADU (OB) BANTERAS PTI DI ESSZONE

LAHAD DATU (26 OKT) : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus fokus melaksanakan Operasi Bersepadu (OB) di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dalam usaha membanteras kemasukkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk mengesan penjualan barangan seludup dan terlarang.

Komander ESSCOM, DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan, berkata menerusi OB yang dilaksanakan pada Jumaat lalu (19 Okt) seramai 111 individu telah diperiksa, yang mana tujuh daripadanya telah ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini.

“Tujuh individu yang ditahan itu adalah merupakan warganegara Filipina terdiri enam lelaki dan seorang wanita, kesemuanya ditahan dibawah Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (PINDAAN 2002),” katanya di sini, semalam.

Sementara itu kata Hazani, tumpuan operasi kali ini dilakukan disekitar Kampung Bakau Lama dan Kampung Bakau Baru serta disekitar kawasan pusat bandar Lahad Datu.

Operasi yang bermula seawal pukul 7 hingga 11 pagi itu katanya, telah disertai 52 anggota penguatkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kebajikan, MDLD dan Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam pada itu jelasnya, menerusi operasi sama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini juga telah mengeluarkan sebanyak 14 keping notis kepada pemandu jalan raya di sini atas pelbagai kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu selain lesen memandu tamat tempoh serta tidak memakai talipinggang keledar.

Menurutnya, kesemua kesalahan ini dikesan menerusi operasi sekatan jalan raya yang dilaksanakan di Jalan Pantai berhadapan Kampung Puyut dan hadapan kawasan pasar serta di Jalan Silam berhadapan City Motor.

Sementara itu, Hazani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasa yang telah bersama-sama terlibat dalam menjayakan operasi ini sehingga dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah.

“ESSCOM akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mengurang kehadiran PATI di daerah ini yang disyaki menjadi dalang disebalik aktiviti penyeludupan barang-barang bersubsidi dan terlarang seperti minyak petrol, rokok seludup dan Dadah jenis syabu,” katanya lagi.

Sumber: fb esscom

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *