Dua lelaki didenda RM1,000 kerana bercium

Dua lelaki didenda RM1,000 kerana bercium

Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,000 di Mahkamah Rendah Syariah di Dungun hari ini kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam. – Foto hiasan

DUNGUN: Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam dengan bercium di dalam sebuah kereta, April lalu.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 25 dan 20 tahun turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang masih bujang dibebaskan selepas menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Mohamad Hamidi Shafie selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di tempat awam di dalam sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di tepi Pantai Sura Tengah, di sini, jam 10.55 malam, 15 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah yang melakukan rondaan ternampak sebuah kereta mencurigakan di tepi pantai berkenaan.

Anggota kemudian menghampiri kenderaan berkenaan bagi tujuan pemeriksaan sebelum mendapati dua lelaki sedang berciuman di dalam kenderaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada mereka berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan zip serta seluar terbuka sehingga menampakkan kemaluan manakala seorang lagi berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Susulan itu, dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut. -Bharian

Komen