Dendam angkara anak dibunuh

Dendam angkara anak dibunuh

ENAM sekeluarga dari Pulau Denawan, Semporna, yang tembak mati ketika dalam perjalanan ke Siasi, selatan Filipina, untuk menyambut Maulidur Rasul, pada 6 November lalu, dipercayai dibunuh akibat dendam lama.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, suspek yang melakukan pembunuhan itu berdendam kerana seorang daripada keluarga mangsa dikatakan membunuh anaknya.

“Motif pembunuhan disebabkan dendam lama antara dua keluarga itu. Anak suspek dibunuh dan itu punca dia membunuh keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti Kepolisian di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Omar berkata, polis sudah menjalankan bedah siasat terhadap enam mangsa yang ditembak mati dalam kejadian itu.

Katanya, pihaknya mendapatkan perintah mahkamah di Semporna untuk mengeluarkan jasad enam mangsa yang di kubur di Pulau Denawan bagi tujuan itu, pada 11 November lalu.

“Ada kesan tembakan di semua mangsa yang mati. Seorang daripadanya sampai tiga, empat kesan tembakan.

“Selepas bedah siasat dijalankan, enam mangsa itu dikebumikan semula pada 13 November lalu,” katanya.

Dalam kejadian 6 November lalu itu, enam sekeluarga terbabit, termasuk kanak-kanak berusia lapan tahun yang menaiki bot ke selatan Filipina dipercayai diserang suspek.

Suspek membunuh enam sekeluarga itu, namun enam keluarga mangsa yang lain terselamat, termasuk lima daripadanya kanak-kanak.

Omar berkata, ada kesilapan maklumat sebelum ini menyatakan dua mangsa terselamat, sebenarnya enam yang terselamat dalam kejadian itu.

“Empat kanak-kanak yang terselamat berada di bot lain. Dua lagi membabitkan seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak dalam bot yang diserang suspek.

“Polis sudah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu dan maklumat itu sudah dimaklumkan kepada rakan setugas di negara jiran (Filipina),” katanya. -Bharian

Komen