Denda RM300 hingga RM1,200 ganti pasport hilang

Denda RM300 hingga RM1,200 ganti pasport hilang

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa Rabu lalu, mereka yang kehilangan pasport akan dikenakan denda RM300 hingga RM1,200 untuk menggantikan dokumen perjalanan itu.

Perintah denda itu turut membabitkan kerosakan pada dokumen berkenaan seperti yang terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 bertarikh 20 Disember tahun lalu.

Perintah yang disiarkan di laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara itu dikeluarkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Menurut perintah itu, individu yang kehilangan dokumen terbabit buat pertama kali, dikenakan denda sebanyak RM400 kecuali kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara.

Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara pula, denda sebanyak RM300 akan dikenakan.

Bagi penggantian pasport kali kedua, denda sebanyak RM700 akan dikenakan manakala bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara, denda sebanyak RM600 akan dikenakan.

Jika pemilik kehilangan pasport buat kali ketiga, denda sebanyak RM1,200 akan dikenakan manakala RM1,100 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara.

Sebelum ini, pemilik yang kehilangan dokumen berkenaan tidak dikenakan sebarang penalti.

Bharian

Komen