Denda merokok dicadang kurang jika bayar awal

Denda merokok dicadang kurang jika bayar awal

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mengurangkan bayaran denda kesalahan merokok di kawasan larangan daripada RM250 kepada RM150 bagi pesalah yang membuat bayaran denda awal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penguatkuasaan terhadap golongan perokok bukan semata-mata aspek hukuman atas kesalahan merokok di kawasan larangan, tetapi lebih penting ia bagi mendidik orang ramai dan memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan.

“Seramai 20,000 rakyat meninggal dunia akibat penyakit berkaitan rokok, sama ada kanser dan sebagainya, sebab itu saya ambil tindakan ini.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini, bukan wang ringgit yang kami mahukan dan mengharamkan merokok bukan satu tugas. Saya tidak mahu perokok pasif didedahkan kepada asap rokok yang memberi kesan buruk kepada kesihatan,” katanya selepas majlis pelancaran Program Mamogram Percuma Etiqa – fasa ketiga dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan menetapkan mulai 1 Januari depan, merokok hanya boleh dilakukan di luar jarak tiga meter dari setiap premis makanan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun RM250 boleh dikenakan dan jika gagal membayarnya, mereka akan didakwa di mahkamah serta boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara. – BERNAMA

Komen