CUBAAN SELUDUP PELBAGAI JENIS PAKAIAN DAN KASUT TERPAKAI DITAHAN POLIS MARIN

CUBAAN SELUDUP PELBAGAI JENIS PAKAIAN DAN KASUT TERPAKAI DITAHAN POLIS MARIN

Tawau, 10 November 2018 – Pasukan Polis Marin Tawau telah menghidu kegiatan cubaan menyeludup pakaian dan kasut terpakai (bundle) keluar dari Tawau ke negara jiran kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Supt. Abd Nasir Bin Othman, Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah berkata, dalam satu operasi Op Gelora yang dijalankan, Pasukan Polis Marin Tawau telah berjaya menahan sebuah jongkong yang dijuragani oleh seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun di kawasan laut muara Sg. Hj Kuning Tawau.

Hasil pemeriksaan ke atas jongkong tersebut mendapati sebanyak 25 karung pakaian dan 20 karung kasut terpakai (bundle) pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM45,000.00. Selain itu, juragan juga gagal mengemukakan lesen bot dan gagal mempamirkan nombor pendaftaran bot. Jongkong tersebut serta 1 unit enjin sangkut 40hp jenama Yamaha bernilai RM27,000.00 ditahan. Menurutnya jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM72,000.00 , dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Kesemua barang rampasan dan juragan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal menunjukkan manifest serta borang kebenaran dari Jabatan Kastam dan juga kesalahan melanggar peraturan-peraturan dibawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana gagal mengemukakan lesen dan mempamirkan nombor pendaftaran bot. – fb pasukan polis marin

Komen