CUBAAN SELUDUP MASUK 2,000 TELUR PENYU GAGAL

CUBAAN SELUDUP MASUK 2,000 TELUR PENYU GAGAL

SANDAKAN: Sebanyak 2,000 biji telur penyu bernilai RM4,000 dirampas Pasukan Polis Marin daerah ini dalam Op Pensura, petang kelmarin.

Dalam operasi sekitar jam 6 petang itu, cubaan menyeludup masuk telur penyu berkenaan dipatahkan sepasukan anggota PPM yang membuat intipan dan pemantauan sepanjang operasi di sekitar perairan Sungai Batu Dua Setengah.

Anggota Pasukan Polis Marin Sandakan menunjukkan telur penyu yang dirampas dalam Op Pensura di perairan Sungai Batu Dua Setengah, Sandakan. -Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

Komendar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata beberapa lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti haram itu berjaya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

Mohamad Pajeri berkata intipan di lokasi kejadian berjaya mengesan beberapa individu dalam keadaan mencurigakan berada di tempat pemunggahan hasil laut yang tidak diwartakan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, semua lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 2,000 biji telur penyu disembunyikan di dalam kotak Polystrene dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran,” katanya.

Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997. -SabahNews Today

Komen