Cubaan menyusup keluar ke Filipina tumpas

Cubaan menyusup keluar ke Filipina tumpas

JURAGAN dan penumpang yang ditahan.

LAHAD DATU: Cubaan untuk menyusup keluar oleh 13 individu ke Filipina musnah apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Lahad Datu menahan sebuah bot pam di perairan berhampiran Kampung Desa Bajau, di sini pada Rabu.

Kesemua 13 individu yang ditahan itu termasuk dua kanak-kanak dan 11 dewasa dalam kejadian kira-kira jam 6.50 malam pada jarak 1.5 batu nautika timur berhampiran lokasi ketika APMM melakukan Op Pluto Timur 2/2013 di perairan Telukan Lahad Datu.

Pengarahnya Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataannya berkata selepas pemeriksaan dokumen pengenalan diri dilakukan, lapan pendatang tanpa izin (PTI) ditangkap termasuk seorang wanita dan juragan bot.

“Kesemua yang ditahan itu ialah juragan bot berumur 65 tahun, seorang penumpang wanita,17, dan enam lelaki berusia 28 hingga 55 tahun,” katanya.

PTI yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. –utusanborneo

Komen