CUBA SELUDUP KELUAR 3,030 LITER MINYAK PATROL BERSUBSIDI 4 PATI DITAHAN

CUBA SELUDUP KELUAR 3,030 LITER MINYAK PATROL BERSUBSIDI 4 PATI DITAHAN

TAWAU, 12 Jun 2019 (Rabu) – Hasil maklumat dan risikan oleh Unit Risikan Marin (URM) , sepasukan anggota Pasukan Polis Marin Tawau dengan menggunakan Botronda PGR 2 semasa dalam tugas Op Gelora Khas telah berjaya menahan tiga buah bot jenis pam di kawasan perairan laut Batu 4 Tawau pada jam 10.30 dan 12.00 malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Hj Mohamad Pajeri Bin Ali berkata, “Pasukan serbuan Polis Marin Tawau semasa berada di atas jambatan perkampungan atas air Batu 4 Tawau telah mendapati sebuah pam bot dengan muatan 10 jerikin(30L) dan sebuah lagi pam bot dengan muatan 38 jerikin(30L) yang berisi minyak petrol bersubsidi berada di situ. Walaubagaimanapun semasa serbuan dijalankan tiada individu yang tampil untuk mengaku pemilik bot dan barang-barang tersebut.”

Tambahnya lagi, semasa serbuan dibuat telah mendapati sebuah lagi pam bot bergerak menuju ke arah laut dipercayai cuba melarikan diri. Botronda PGR2 yang dalam keadaan bersiap sedia telah mengejar pam bot tersebut dan telah berjaya memintasnya dan kelihatan dua orang lelaki telah terjun ke laut, dipercayai salah seorang darinya merupakan juragan bot tersebut. Usaha mencari dan mengesan kedua-duanya tidak berjaya kerana pengelihatan terhad dan cuaca gelap.’

Hasil pemeriksaan ke atas pam bot berkenaan telah mendapati seramai 4 orang lelaki dewasa berumur antara 17-22 tahun dan mengaku sebagai penumpang. Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.Turut ditemukan sebanyak 53 jerikin(30L) berisi minyak petrol bersubsidi. Pam bot dan muatan berkenaan dipercayai untuk menuju ke negara Filipina.

Kesemua suspek dan pam bot dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk siasatan lanjut. Barang-barang yang dirampas merupakan tiga buah bot, 9 unit injin pam dan 101 jerikin(30L) berisi minyak petrol 3,030 liter.
Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM9,596.00. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komen