CIDB kenakan kompaun kepada tapak pembinaan

CIDB kenakan kompaun kepada tapak pembinaan

Pegawai Penguat Kuasa CIDB beri penerangan kepada pekerja tapak projek pembinaan ketika operasi bersepadu di Tawau, hari ini. Foto Abdul Rahemang Taiming

TAPAK projek pembinaan berhampiran pusat bandar Tawau dikenakan kompaun selain diberi notis selepas dikesan gagal mematuhi peraturan pembinaan.

Tindakan itu diambil susulan operasi mengejut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) Sabah, hari ini.

Pengurus Cawangan CIDB Bahagian Tawau Hassan Ismail berkata, sepanjang operasi hampir lima jam yang bermula 9 pagi itu, seramai 50 pekerja di tapak pembinaan diperiksa.

“Daripada jumlah itu hanya 15 pekerja yang mempunyai kad personel binaan atau kad hijau, manakala selebihnya belum mendapat akreditasi CIDB.

“CIDB juga mengeluarkan notis kepada tiga sub kontraktor untuk tindakan lanjut selain satu kompaun susulan penemuan tempat pembiakan jentik-jentik di tapak projek pembinaan pusat kesihatan empat tingkat itu,” katanya kepada media selepas operasi berkenaan tamat.

Hassan berkata, fokus operasi itu adalah langkah penguatkuasaan mengikut Akta 520 berkaitan pendaftaran kontraktor, kewajipan kontraktor, pembayaran levi, personel binaan, akreditasi dan bahan binaan.

Sementara itu, Hassan berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 44 notis sudah dikeluarkan kepada kontraktor di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak.

Menurutnya, sebanyak lima kertas siasatan juga sudah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta 520.

“CIDB amat mementingkan keselamatan di tapak pembinaan bagi memastikan semua kerja pembinaan mematuhi peraturan yang ditetapkan mengikut Akta 520 ke arah meningkatkan kualiti dan keselamatan dalam pembinaan di tapak dapat dicapai sepenuhnya terutamanya di Sabah,” katanya. -hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 9:16 PM

Komen