Ceroboh: Bot nelayan ditahan

Ceroboh: Bot nelayan ditahan

BOT nelayan ini ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menangkap ikan di zon larangan.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Komander (M) Mohd Yusri Hussin berkata bot nelayan itu disyaki menangkap ikan berhampiran pantai di kawasan kurang satu batu nautika dan kedalaman 6.7 meter.

“Penahanan dilakukan kira-kira jam 6.30 pagi pada Selasa berhampiran pantai Sungai Pukul,” katanya, di sini menerusi kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Selasa malam.

Yusri berkata pemeriksaan awal mendapati bot itu dikemudikan oleh seorang juragan dibantu dua awak-awak warga asing yang berumur antara 21 sehingga 45 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka yang diperiksa didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun terpaksa ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut oleh kru Maritim juga mendapati bot terbabit sudah memuat kira-kira 20kg ikan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai kira-kira RM100,” katanya.

Beliau berkata penahanan dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen menunda di luar kawasan yang dibenarkan.

oleh utusanborneo.com.my

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *