Campak rokok dalam laut

Campak rokok dalam laut

PASUKAN polis Marin berjaya merampas 8,250 bungkus rokok seludup di kawasan perairan Kampung Icebox, dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan di Tawau. FOTO Ihsan PPM

PASUKAN Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 8,250 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM82,500 melalui ‘Op Gelora Khas’ di kawasan perairan Kampung Icebox, dekat Tawau, awal pagi hari ini.

Operasi bermula kira-kira 2 pagi itu dijalankan susulan maklumat dan risikan berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, selepas beberapa jam intipan dilakukan, sepasukan empat anggota berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 4 pagi.

Bagaimanapun katanya, bot laju terbabit bertindak memecut laju ke arah sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Indonesia sebaik menyedari kehadiran pihak keselamatan.

“Ketika anggota PPM mengejar bot berkenaan, kelihatan suspek menjatuhkan barang muatan ke dalam laut sebelum semua mereka gagal dikesan kerana memasuki kawasan perairan negara jiran Indonesia.

“Semua barang yang dijatuhkan tadi kemudiannya diambil untuk diperiksa dan didapati mengandungi rokok pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini,” katanya.

Mohamad Pajeri menjelaskan, antara rokok ditemui ialah jenis kretek jenama Menara International 16 batang (360 karton), Menara International 12 batang (400 karton) dan Ares 12 batang (65 karton).

Jumlah keseluruhan rokok terbabit ialah sebanyak 825 karton atau bersamaan 8,250 bungkus dianggarkan bernilai RM82,500 termasuk cukai,” katanya.

Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e), Akta Kastam 1967. -hmetro

Komen