BUKU PANDUAN 30 LOKASI TARIKAN PELANCONG SEMPENA CUTI-CUTI TAWAU DILANCARKAN

BUKU PANDUAN 30 LOKASI TARIKAN PELANCONG SEMPENA CUTI-CUTI TAWAU DILANCARKAN

TAWAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah melancarkan buku panduan memaparkan 30 lokasi yang menjadi tarikan pelancong untuk datang ke daerah ini.

Buku panduan itu dilancarkan sempena Cuti-Cuti Tawau yang sudah dirasmikan tahun lalu dan dipromosikan kembali pada tahun ini dengan menjadikan lokasi di tiga daerah iaitu Tawau, Semporna dan Lahad Datu sebagai tempat yang harus dikunjungi.

Datuk Christina Liew menyampaikan beg berisi buku panduan 30 lokasi tarikan menarik di Sabah sempena mempromosi Cuti-Cuti Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Bagi merancakkan lagi ekonomi pelancongan di daerah ini, Menterinya, Datuk Christina Liew menyarankan supaya pemain industri pelancongan di daerah ini memainkan peranan dalam mempromosikan Tawau.

“Saya berharap pemain industri pelancongan di Tawau dapat bekerjasama dengan industri berkaitan seperti hotel, restoran, pengangkutan dalam meningkatkan kemasukan pelancong ke sini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew bergambar bersama dengan lapan wakil pemain industri pelancongan di Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kementerian kita baharu pertama kali mengambil inisiatif sebegini dengan penghasilan buku panduan yang memberikan fokus kepada tarikan Tawau, Semporna dan Lahad Datu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Cuti-Cuti Tawau, di sebuah hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sudah mengadakan banyak program bagi mempromosi Tawau sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, usaha itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama persatuan-persatuan pelancongan di peringkat negeri dan kebangsaan yang dijalankan sejak tahun lalu.

Antara pemain industri pelancongan yang hadir. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Misalnya, kita sudah melancarkan Produk Pelancongan Tawau (TTP) bersama Malaysian Association of Tour and Travel Agent (MATTA) pada Julai 2018 di Tawau.

“Saya sendiri turut hadir melancarkan Cuti-Cuti Tawau di International Tourisms-Bourse (ITB) di Berlin, Jerman untuk mempromosikan potensi pelancongan di Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap sasaran empat juta pelancong dapat dicapai mengambil kira trend sehingga Mac 2019 menunjukkan Sabah menerima 1,033,871 pelancong dengan peningkatan 9.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

Menurutnya, Tawau mempunyai keunikan yang diperlukan untuk muncul sebagai salah sebuah destinasi percutian pelancong tempatan, seperti Taman Bukit Tawau.

“Namun wujud cabaran yang perlu diatasi untuk memastikan impian ini direalisasikan, terutamanya kesedaran potensi pelancongan dalam kalangan orang Tawau sendiri,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 132 penerbangan antara Tawau dengan lima bandar utama di negara ini seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Sandakan, selain Tarakan di Kalimantan Indonesia.

Lapangan Terbang Tawau juga adalah antara kedua terbesar di Sabah selepas Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan mencatatkan seramai 1.64 juta pergerakan penumpang pada 2018 dengan peningkatan 19.4 peratus.-SabahNewsToday

Komen