Buka lebih banyak kaunter imigresen di Lapangan Terbang Tawau

Buka lebih banyak kaunter imigresen di Lapangan Terbang Tawau

KOTA KINABALU: Lebih banyak kaunter imigresen perlu dibuka di Lapangan Terbang Tawau bagi memudahkan perjalanan pengguna, khususnya pelancong.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, banyak aduan disampaikan kepada beliau berikutan terdapat pengunjung dari Kuala Lumpur yang terkandas di lapangan terbang itu disebabkan hanya dua daripada lapan kaunter imigresen beroperasi pada ketika itu.

“Saya telah berbincang perkara ini dengan Pengurus Lapangan Terbang Tawau Hasbi Mohd Said bersama-sama dengan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Suzaini Sabdin Ghani.

“Bagi mengelak sebarang ketidakselesaan, kami berharap lebih banyak anggota imigresen akan ditempatkan pada kaunter-kaunter sedia ada bagi melancarkan suasana perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, satu kejadian berlaku pada 28 Disember lalu apabila orang awam dan juga pengguna lapangan terbang itu menghantar aduan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada beliau.

Katanya, dalam aduan itu, mereka menjelaskan ramai pengguna ketika itu terpaksa berbaris panjang dan lama untuk menunggu giliran mereka memasuki dewan ketibaan sebelum meninggalkan lapangan terbang itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, Hasbi turut memberi jaminan akan menyediakan maklumat mengenai jumlah keperluan kaunter untuk ketibaan dan pelepasan di lapangan terbang itu.

Dalam pada itu, Christina turut mengingatkan semua pengusaha pelancongan di Tawau untuk menaik taraf tahap kemudahan, perkhidmatan, pengangkutan demi keselesaan para pelancong.

“Tahun Baharu Cina hampir tiba, pelancong khususnya dari China akan datang dengan penerbangan sewa khas masing-masing ke sini.

“Saya bimbang barisan panjang akan terjadi di Lapangan Terbang Tawau berikutan hanya beberapa kaunter sahaja dibuka,”katanya.

Selain itu katanya, kemudahan seperti tandas juga perlu sentiasa bersih untuk memberikan jangkaan terbaik kepada pelancong yang tiba di sini nanti.

oleh
YAP SIONG HAN

sumber : utusan borneo

Komen