Bonus RM500 buat 21,021 penjawat awam Sabah

Bonus RM500 buat 21,021 penjawat awam Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Arkib NSTP

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian bonus RM500 kepada 21,021 penjawat awam negeri ini membabitkan semua peringkat sempena Aidilfitri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pembayaran bonus itu akan dibuat sebelum Aidilfitri, yang diharapkan dapat membantu golongan terbabit membuat persiapan raya.

“Walaupun dalam keadaan kewangan negeri tidak begitu sihat, Kerajaan Sabah bersetuju memberi bonus RM500 bagi membantu penjawat awam di Sabah.

“Ini bagi meringankan beban penjawat awam di negeri ini untuk semua peringkat dengan pembayaran dibuat sebelum Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri 2019 Kepada Pasukan Keselamatan di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan.

Mohd Shafie yang turut bertanggungjawab terhadap portfolio kewangan negeri, berkata pembayaran bonus itu membabitkan peruntukan kira-kira RM10.5 juta.

Keseluruhannya, sembilan pasukan dan agensi keselamatan menerima sumbangan kuih muih hari raya pada majlis berkenaan.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut menerima sumbangan itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Pemberian kuih-muih itu disumbangkan oleh 40 jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Sabah (PERWISA).

Sementara itu, Mohd Shafie dalam ucapannya meminta orang awam agar tidak menjadi tali barut kepada mana-mana anasir yang tidak baik yang boleh menjejas keamanan negara.

“Jika kita menjadi sumber kepada anasir tidak baik, ini akan mengancam negara dan nyawa rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pasukan dan agensi keselamatan dalam menjaga keamanan negara, khususnya Sabah pada musim perayaan ini amat dihargai kerajaan negeri.

“Tanggungjawab dipikul pasukan keselamatan amat besar. Mereka bukan saja terpaksa meninggalkan keluarga pada musim peraayaan malah ada yang terkorban dalam memastikan keamanan negara.

“Cukup besar pengorbanan diberikan pasukan keselamatan ini. Bagi pihak kerajaan negeri serta rakyat Sabah, kami merakamkan terima kasih kepada pasukan keselamatan.

“Walaupun sumbangan kuih raya ini kecil, tetapi kita amat menghargai pengorbanan pasukan dan agensi keselamatan,” katanya. -bharian

Komen