Boleh duduki SPM walaupun tiada kad pengenalan

Boleh duduki SPM walaupun tiada kad pengenalan

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Pelajar Tingkatan Lima yang bersekolah dan mencapai umur 16 tahun pada tahun peperiksaan layak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun tidak mempunyai kad pengenalan, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Dalam satu kenyataan, KPM berkata syarat kelayakan pendaftaran peperiksaan yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan itu membenarkan mana-mana pelajar pelajar Tingkatan Lima yang mencapai umur 16 tahun pada 1 Januari pada tahun peperiksaan didaftarkan untuk mengambil peperiksaan.

“Sistem akan menjana satu nombor pengenalan diri bagi calon yang tidak mempunyai kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran.

“Semasa peperiksaan berlangsung, Pengawas Peperiksaan boleh gunakan seperti passport, lesen memandu atau Borang LP/Am 118-Borang Pengenalan Diri Calon yang disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.

KPM berkata demikian menafikan laporan media berhubung dakwaan seorang pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, Perak Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, yang ibu bapa kandungnya berasal dari Kemboja tidak dibenarkan menduduki peperiksaan SPM.

Nurul Syuhada memperolehi 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), diikuti keputusan 8A, 1B dan 1C dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 6A dalam ujian percubaan SPM baru-baru ini.

Pelajar itu berkata beliau dimaklumkan pihak sekolah memaklumkan dirinya tidak dibenarkan menduduki SPM kerana tiada kad pengenalan diri.

Menafikan laporan bahawa pelajar cemerlang yang tidak dibenarkan menduduki peperiksaan bertulis SPM, KPM berkata laporan itu tidak tepat sama sekali.

“Pelajar itu telah didaftarkan untuk mengambil peperiksaan SPM 2018 dan slip menduduki peperiksaan juga telah dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan sebagai pengesahan kelayakan menduduki peperiksaan.

“Tiada isu pelajar berketurunan Kemboja terbabit tidak boleh mengambil peperiksaan SPM tahun ini… Isu ini tidak timbul sama sekali,” katanya.

KPM berkata pihak sekolah telah mengadakan pertemuan dengan penjaga dan pelajar terbabit dan telah menjelaskan bahawa pelajar terbabit boleh menduduki peperiksaan SPM.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga telah memohon pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menghebahkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk berjumpa dengan pengurusan sekolah sekiranya berhadapan dengan isu menduduki peperiksaan,” katanya. – Bernama
Via sinaharian

Komen