Blue Hole Lahad Datu mampu tarik pelancong dunia

Blue Hole Lahad Datu mampu tarik pelancong dunia

LAHAD DATU – Teluk Darvel di Lahad Datu, diyakini mampu menarik kedatangan pelancong dunia berikutan penemuan tapak selam skuba yang ikonik dikenali sebagai ‘Blue Hole’ (Lubang Biru) di Terumbu Tingkayu, di situ, baru-baru ini.

Penemuan itu direkodkan pada 14 Feb lalu oleh sekumpulan penyelam skuba termasuk penyelidik dari Taman-Taman Sabah (TTS) yang mengikuti Ekspedisi Saintifik bagi mengumpul data sumber marin di Teluk Darvel.

Lebih menarik, Blue Hole itu ditemukan dengan dua struktur lubang biru, berbanding Blue Hole lain di dunia yang hanya ada satu lubang.

“Setiap satu berkedalaman 15 meter (45 kaki) ke dasar laut,” katanya dalam satu temu bual.

Menceritakan perkara itu, Pegawai Penyelidik Kanan TTS, Nasrulhakim Maidin berkata Blue Hole seumpama itu adalah penemuan tunggal di Sabah dan berkemungkinan di Malaysia.

“Jika struktur terumbu separa tenggelam ini (seperti gua dalam air) dipromosi sebagai tapak selam skuba, ia boleh menjadi daya tarikan pelancongan hebat seperti di The Great Blue Hole of Belize (Amerika Tengah), Blue Hole Dean (Bahamas), selain Dragon Blue Hole (China).”

Menurutnya penemuan terjadi apabila peta remote sensing mengesan kawasan terumbu karang tetapi tidak menyangka tapak itu adalah Blue Hole.

“Kita teroka kedua-dua lubang dengan air biru sangat cantik. Kita menyelam menggunakan satu tangki gas sahaja,

“Pengalaman menakjubkan, apabila kita keluar dari Blue Hole itu kiri dan kanan kita lihat terasa seperti menyusuri permatang gunung di permukaan laut.

“Tempat itu boleh dibuka kepada penyelam ‘open water’ selain boleh dijadikan tapak aktiviti sea-walking,” katanya.

Nasrulhakim berkata, Blue Hole itu sesuai dipromosikan sebagai antara tapak selam pelancongan kerana kedudukan strategik, dekat dengan Pulau Sipadan di Semporna.

“Kalau naik bot dari silam coast conservation area (scca) ke Blue Hole itu ambil masa 30 minit dan dari Sipadan sejam (kalau bot laju) dan dua jam (bot perlahan), pelancong di Semporna boleh terus ke Blue Hole Teluk Darvel,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya bagi mengangkat kawasan itu ke mata dunia, Teluk Darvel seluas 100,000 hektar yang meliputi Blue Hole dan 50 pulau itu perlu diwartakan kerajaan negeri sebagai kawasan perlindungan marin.

Langkah itu perlu direalisasikan ke arah membangunkan Teluk Darvel di Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan dunia berkonsepkan eko pelancongan atau pelancongan penyelidikan.

“Pewartaan ini langkah awal memulihara sumber marin di kawasan berkenaan, misalnya di Blue Hole itu kita dapati tempat tersebut banyak coral tetapi kurang ikan.

“Bila dive di kedalaman 13 meter kami jumpa 10 bubu (alat tangkap ikan) tapi kelihatan sudah koyak-koyak mungkin tinggalan dulu yang digunakan secara agresif menangkap ikan kerana kita lihat tiada bibit kerapu (grouper) langsung di kawasan itu,” katanya.

Katanya, pewartaan itu bakal mengangkat Lahad Datu sebagai antara pilihan destinasi pelancongan di Sabah sekali gus menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negeri.

“Tahun lalu sahaja, hasil pelancongan Sabah direkodkan RM7.8 bilion dan pendapatan ini boleh dijana lagi dengan merancakkan produk (pelancongan) baharu seperti Teluk Darvel ini,” katanya dan turut menyatakan mereka menemukan empat tapak selaman skuba lain di situ.

Sementara itu, setuju mengenai pewartaan Teluk Darvel, Pensyarah (Bidang Biologi Penyu) di Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Juanita Joseph, berkata program ekspedisi saintifik itu turut merekodkan penemuan dua spesies penyu iaitu green turtle serta sea hawksbill turtle.

“Penyu liar ini ditemui di Pulau Baik dan Pulau Tabawan. Kalau tengok di kawasan sekitar pulau ada coral dan seagrass, penyu ini makan seagrass.

“Nelayan dan anggota pasukan keselamatan di Tabawan yang ditemu bual turut mengakui penyu banyak di kawasan pulau tersebut,” katanya.

Menurutnya, jika kerajaan mewartakan teluk itu, kemungkinan besar dapat menarik banyak penyu ke pulau tersebut seperti di Semporna selain dapat membaikpulih kawasan rosak seperti kawasan terumbu karang yang mati akibat di bom.

Juanita dalam pada itu berkata pembersihan pantai dan laut di beberapa kawasan di Teluk Darvel perlu dilaksanakan ekoran penemuan sampah sarap di situ.

Selain sampah, katanya mereka turut menemukan bubu lama serta ‘ghost net’ yang dibuang ke laut dan kesannya boleh membunuh hidupan marin seperti penyu.

Pada 11 Feb lalu, seramai 21 penyelidik pelbagai bidang daripada Taman Taman Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Agensi Remote Sensing terlibat dalam Ekspedisi Saintifik Teluk Darvel 2019.

Program tujuh hari itu dianjurkan Yayasan Sabah dan Pejabat Daerah Lahad Datu. – BERNAMA

Komen