Betta fish Tawau / ikan pelaga Tawau

Betta fish Tawau / ikan pelaga Tawau

Hobi memiliki Ikan Laga @Ikan Pelaga serta budaya menangkap ikan Pelaga adalah sesuatu aktiviti yang popular di daerah Tawau satu masa dahulu.

Minat masyarakat khususnya anak-anak muda belia terhadap Ikan Pelaga bukan lagi perkara baharu, malah ada yang sanggup mengeluarkan belanja besar semata-mata memenuhi minat tersebut.

Menangkap dan memelihara Ikan Pelaga adalah satu budaya bagi remaja di Tawau sekitar tahun 80an dan 90an apabila menjadikan sebahagian aktiviti mereka pada hujung minggu menangkap Ikan Pelaga di kawasan rawa-rawa (kawasan berair).

Antara tempat yang menjadi sasaran mereka pada masa itu ialah di kawasan Sin Onn, Batu 2 Saddani jalan Apas, Batu 4 rawa-rawa, kawasan Kabota, kampung Jalan Damai, Kampung Titingan, Kampung Pasir Putih dan Tanjung Batu kilang Udang.

Aktiviti pergi menangkap Ikan Pelaga secara berkumpulan ini menjadi kebiasaan masyarakat muda mudi di Tawau sehingga sanggup berjalan kaki sejauh 2 hingga 3 km bagi mencari Ikan Pelaga yang cantik dan menarik.

Bagi mereka, minat memelihara Ikan Laga telah sebati memandangkan sudah didedahkan dengan pelbagai spesies ikan tersebut seawal usia kanak-kanak.

Pergi menyiut ikan pelaga, biasanya menjadi mangsa adalah tudung saji di rumah untuk digunakan siut ikan pelaga.

Saiz ikan tersebut yang kecil dan terdapat pelbagai warna yang menarik seperti merah menyalak dan warna kebiru-biruan menjadi tarikan peminat yang menjadikannya sebagai ikan hiasan di rumah.

Tidak kurang hebatnya, penggemar ikan Pelaga minat memelihara ikan ini untuk aktiviti melagakan ikan tersebut dengan ikan pelaga milik orang lain, sebagai suatu kepuasan.

Faktor lain yang memancing minat pada penggemarnya ialah ekor Ikan Pelaga yang berbeza corak yang memiliki kehebatan tersendiri, ada yang memiliki ekor berbentuk bulan disebut ‘ekor bulan’, bentuk matahari akan disebut ‘ekor matahari’ dan ekor berbentuk seakan-akan api akan disebut ‘ekor api’.

Penjagaan air yang sesuai untuk ikan pelaga adalah air yang bebas klorin, sekiranya menggunakan air paip biarkan air tersebut selama 3-5 hari sebelum digunakan untuk ikan pelaga. Terdapat juga ubat anti-klorin yang boleh didapati dimana-mana kedai ikan peliharaan.

Air mempunyai peranan penting kerana air yang kotor atau berklorin boleh mendatangkan banyak penyakit kepada ikan pelaga. Ini kerana air-air ini mengandungi bakteria yang tidak sihat untuk ikan pelaga.

Makanan berbentuk pellet sesuai untuk ikan pelaga kerana makanan yang muat dengan mulut ikan pelaga yang bersaiz kecil sekecil jari kelingking.

Kadang-kadang ikan laga juga cerewet dalam pemakanan. Makanan ikan lain seperti makanan ikan emas tidak sesuai untuk ikan pelaga. Ikan pelaga juga boleh diberi makan jejentik nyamuk.

Pembersihan bekas untuk ikan pelaga dilakukan sekurang-sekurangnya sekali seminggu. Bekas ikan pelaga perlu dibersihkan dengan air panas kerana sekiranya menggunakan sabun boleh menjejaskan kesihatan ikan pelaga.

Antara risiko menangkap ikan pelaga ini biasanya mendapat tentangan dari para ibubapa atas beberapa faktor. Keadaan semulajadi tempatnya yang terletak di kawasan rawa-rawa yang semangnya kotor dan mungkin terdapat binatang berbisa, selain risiko kaki dan tangan terkena rumput berduri dan tajam.

Berjalan kaki dibawah panas terik dengan jarak yang jauh pergi menangkap ikan pelaga pula menjadi risiko bagi anak-anak dengan bahaya kereta di jalanraya.

Namun, segala risiko ini cuma perkara kecil bagi para penggemarnya demi minat yang ada.

Botol-botol kaca seperti bekas botol nescafe yang kecil biasa sesuai tempat menyimpan ikan pelaga. Cermin pula digunakan bagi memancing ikan laga bertindak agresif terhadap lawannya dengan melihat rupanya sendiri di dinding cermin.

Apapun, cerita ikan pelaga ini cuma mampu menjadi kenangan sahaja bagi orang-orang Tawau, mungkin tidak ada lagi tempat-tempat menangkap ikan pelaga sekarang ini.

Sumber: info #BESTAWAUfm

Komen