Beri RM30 selepas rogol

Beri RM30 selepas rogol

HANYA kerana tertinggal bas, seorang gadis terpaksa menempuh ‘azab’ apabila dirogol seorang anggota polis di Sarikei, 29 Oktober lalu.

Menceritakan semula pengalaman pahitnya itu, mangsa, 19, berkata, beliau yang bekerja sebagai pembantu kedai menaiki bas dari Kuching ke Sibu pada 10 malam, 28 Oktober lalu, untuk meraikan hari jadi kakaknya.

Katanya, ketika bas berhenti di Terminal Bas Sarikei kira-kira 4 pagi, beliau turun untuk membuang air kecil.

“Bagaimanapun, apabila keluar dari tandas, bas berkenaan didapati sudah bergerak meneruskan perjalanan. Dompet dan telefon bimbit saya semua tertinggal dalam bas,” katanya.

Katanya, ketika itu, seorang lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) berhenti dan menawarkan pertolongan, lebih-lebih lagi melihatkan keadaanya yang panik.

“Saya bersama lelaki itu bergegas mengejar bas berkenaan, tetapi gagal sebelum menggunakan telefon bimbitnya untuk memaklumkan kakak saya mengenai perkara itu.

“Lelaki itu kemudian membawanya ke balai polis kerana memikirkan ia tidak selamat bagi mangsa untuk bersendirian di luar pada waktu berkenaan,” katanya.

Sebaik memberhentikan kenderaannya di depan pintu pagar balai polis, lelaki berkenaan mula menyentuh mangsa sebelum mengarahkan gadis itu masuk ke tandas balai.

“Memang saya ketakutan dan cukup bimbang dicederakan jika melawan lalu mengikut saja apa diarahkan lelaki berkenaan,” katanya.

Selepas merogol mangsa, suspek menghantarnya kembali ke terminal bas dan memberinya RM30 untuk makan dan tambang bas ke Sibu.

Bagaimanapun, mangsa kembali ke balai polis berkenaan pada 10 pagi hari yang sama bersama kakaknya untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superintendan Awang Arfian Awang Bujang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihak tidak berkompromi dalam kes sedemikian kerana ia membabitkan nama baik dan imej pasukan.

“Kes sedang disiasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. Tiada tolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam kes jenayah atau isu disiplin,” katanya.

Difahamkan, suspek berkenaan berusia 53 tahun dan berpangkat koperal. Hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 6:39 PM

Komen