Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kenderaan di sekitar tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi hari ini. FOTO Tular

PERSELISIHAN faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya, menjadi punca pergaduhan dalam kejadian 2 pagi hari ini.

Puluhan individu berkumpul di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, sebaik menerima laporan kejadian itu, pihaknya tiba ke lokasi bagi memastikan keadaan terkawal tanpa berlaku sebarang rusuhan.

“Polis akan melaksanakan tugasan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam ketika proses pemindahan kuil berusia lebih 140 tahun itu. Keadaan di lokasi dilaporkan baik dan terkawal.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 18 kenderaan terbakar dalam kejadian rusuhan terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.38 pagi tadi.

“Seramai enam pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati dua kenderaan di tepi jalan lokasi berkenaan sedang terbakar.

“Ketika itu, anggota tidak dapat membuat pemadaman kerana diganggu oleh perusuh dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak polis yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kebakaran itu membabitkan 18 kenderaan di lokasi kejadian iaitu dua kenderaan di tepi jalan, 16 kenderaan di tapak pembinaan dan dua motosikal.

“Kejadian ini tidak membabitkan mangsa,” katanya. Mymetro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 9:07 AM

Komen