Belanjawan 2020: Sabah harap dapat lebih banyak royalti minyak

Belanjawan 2020: Sabah harap dapat lebih banyak royalti minyak

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap apa yang dibincangkan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 dapat direalisasikan, terutama berkaitan hasil minyak dan gas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Sabah antara negeri pengeluar minyak dan gas di negara ini, namun masih jauh ketinggalan daripada segi prasarana.

“Kita sedar dan tahu ada kekangan kewangan di peringkat pusat. Namun, kita juga memerlukan kewangan untuk membangunkan negeri kerana Sabah jauh ketinggalan dari segi prasarana.

“Kita juga tahu begitu banyak sekali ‘lagu-lagu yang didendangkan’ (tuduhan), dilontarkan oleh rakyat berkaitan isu minyak, terutama ketika pilihan raya lalu kerana hasil dari negeri Sabah, namun perolehannya tidak sebanyak diharapkan,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja ke pejabat Sabah Shell Petroleum Company Limited, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau juga sudah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan berharap akan ada berita baik pada pembentangan Belanjawan 2020, bulan depan.

“Ini juga termasuk mengenai janji 20 peratus royalti minyak kepada Sabah kerana ia antara janji dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

“Apa pun, kita sentiasa berbincang dengan mereka (Kerajaan Persekutuan) bagaimana untuk mencari jalan terbaik bagi merealisasikan 20 peratus ini (royalti minyak),” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata, kerajaan bekerjasama dengan semua syarikat minyak kerana syarikat berkenaan membantu meningkatkan industri minyak di Sabah dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

“Sebahagian besar pendapatan hasil minyak ini juga perlu diurus dengan baik bagi memastikan kerjasama ini terus kukuh. Pihak kerajaan negeri juga akan sentiasa menyokong serta meninjau kekangan atau masalah yang dihadapi syarikat ini kerana ia secara tidak langsung membawa banyak kebaikan kepada kita.

“Antara masalah yang dihadapi termasuklah pekerja. Macam biasalah ada pekerja yang datang dari Semenanjung. Mereka memerlukan permit. Begitu juga pekerja dari luar negara,” katanya. -Bharian

Komen