BEDAH SIASAT TIGA MANGSA MAUT DI PULAU KALAPUAN DIJALANKAN KEMARIN

BEDAH SIASAT TIGA MANGSA MAUT DI PULAU KALAPUAN DIJALANKAN KEMARIN

TAWAU (10 Julai) – Bapa kepada jurulatih penyelam yang maut di Pulau Kalapuan Jumaat lepas, Abdun Jamarun mahu menunggu laporan penuh bedah siasat kematian Zainal sebelum sebarang tindakan diambil.

Katanya, keputusan itu termasuk sama ada mahu membuat laporan polis atau tidak.

“Tunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Tawau di sini, kelmarin.

Abdun, 50, bersama anak dan cucunya, selain waris kepada dua mangsa warga China berada di unit itu sejak 9 pagi bagi proses menuntut mayat.

Dalam pada itu, Abdun berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Halo di Bangau-Bangau, Semporna sebaik selesai proses bedah siasat petang itu juga.

“Kalau keluar (jenazah) hari ini, biar malam pun, kami akan kebumikan,” katanya lagi.

Setakat pukul 2 petang tadi, difahamkan seorang daripada tiga mangsa selesai dibedah siasat.

Sementara itu, dua mayat warga China Zhao Zheng dan Xu Yingjie akan dibakar di tempat pembakaran mayat di Jalan Sin Onn Tiku di sini.

Zhao Wei Hua iaitu bapa saudara Zhao Zheng ketika ditemui berkata proses pembakaran mayat dilakukan sebaik menerima sijil kematian kedua-dua mangsa.

Katanya lagi, selepas proses itu, abu mayat akan dibawa ke Semporna untuk dihanyutkan di kawasan mayat mula ditemui.
“Kami doa agar roh kedua-dua mangsa sampai ke Beijing,” katanya lagi yang tiba di Kota Kinabalu sejak Ahad.

Difahamkan kedua-dua mangsa merupakan Jurutera IT yang bekerja di China dan bersahabat baik.

Zhao dan Xu belajar bersama-sama di sebuah University Ta-Lien di Liaoning, China.

Kedua-dua mangsa merupakan anak tunggal bagi kedua-dua keluarga.

Selain itu, difahamkan juga, Zainal sudah beberapa kali membawa Zhao dan Xu untuk menyelam di Semporna.
Kedatangan mereka ke Semporna kali ini, difahamkan untuk mengambil lesen jurulatih.

Pada Jumaat lalu, Zhao, Xu serta Zainal ditemui mati di Pulau Kalapuan ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan berkenaan.

Sumber: fb eastern sabah security command – Esscom

Komen