Bayaran khas penjawat awam 2018 dibayar 18 Disember

Bayaran khas penjawat awam 2018 dibayar 18 Disember

PUTRAJAYA: Bayaran Khas 2018 sebanyak RM500 untuk setiap penjawat awam dalam kumpulan pengurusan dan profesional dan kumpulan pelaksanaan serta RM250 untuk pesara kerajaan akan dibayar pada 18 Disember ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2018 berkata bayaran RM500 itu akan diberi dengan syarat pegawai masih berkhidmat sehingga 18 Disember ini dan berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

Pekeliling itu menyenaraikan pegawai yang layak mendapat bayaran khas adalah pegawai lantikan tetap, sementara dan kontrak, pegawai yang bercuti separuh gaji atau tanpa gaji tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari hingga 18 Disember 2018 dan pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya, badan antarabangsa atau syarikat swasta tetapi tidak sepanjang tempoh tersebut.

Menurut pekeliling yang dimuat naik di laman sesawang JPA itu, bayaran khas juga dipanjangkan kepada guru interim, pemandu yang dilantik oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak mendapat pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya dan pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran serta hakim dan pesuruhjaya kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971.

Pekeliling itu juga menjelaskan pegawai yang tidak layak menerima bayaran itu adalah pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan setaraf termasuk yang memangku, dipinjam atau ditukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama atau Gred Khas.

Turut tidak layak menerima bayaran itu ialah pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib sepanjang tahun 2018, ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari hingga 18 Disember 2018 dan meletak jawatan dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib akan ditangguhkan bayaran tersebut dan hanya layak menerimanya jika Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati pegawai tersebut tidak bersalah.

Bagi pegawai lantikan kontrak (COS) yang berkhidmat melebihi satu kontrak dalam tahun 2018, bayaran khas itu akan dibayar oleh jabatan terkini pegawai berkhidmat tertakluk jika masih berkhidmat pada 18 Disember 2018 dan memenuhi syarat berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut dalam tempoh bermula 1 Januari.

Bayaran khas sebanyak RM500 juga dipanjangkan kepada Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang masih berkhidmat pada 18 Disember 2018 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut sejak 1 Januari 2018.

Pekeliling itu turut menjelaskan pesara kerajaan yang telah menerima pencen dan penerima pencen terbitan pada atau sebelum 18 Disember 2018 di bawah undang-undang pencen akan dibayar sebanyak RM250 oleh JPA.

Pesara perkhidmatan awam yang dilantik semula secara COS dan masih berkhidmat pada 18 Disember 2018 layak diberi bayaran khas sebanyak RM500 tertakluk memenuhi syarat berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut dalam tempoh 1 Januari hingga 18 Disember 2018.

Menurutnya pembayaran sebanyak RM250 akan dibuat oleh JPA dan baki sebanyak RM250 akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat.

Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 18 Disember 2018 juga layak diberi bayaran khas sebanyak RM500 dengan syarat pegawai telah berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut dalam tempoh 1 Jan hingga 18 Disember 2018.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lepas mengumumkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 54 dan ke bawah dan sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

— BERNAMA

Komen