BARANGAN RUNCIT BERNILAI RM209,934, DUA LELAKI DITAHAN PPM

BARANGAN RUNCIT BERNILAI RM209,934, DUA LELAKI DITAHAN PPM

TAWAU: Cubaan menyeludup masuk barangan runcit yang bernilai kira-kira RM209,934 dari negara jiran berjaya digagalkan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, PPM Tawau mengesan sebuah jongkong yang mencurigakan ketika menjalankan tugas Op Gelora Khas di kawasan perairan laut Batu 3 Tawau kira-kira 11.30 malam Jumaat.

Apabila ditahan, bot jongkong itu dikendalikan seorang juragan, lelaki berusia 32 tahun bersama remaja lelaki berusia 19 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Mohamad Pajeri berkata, pemeriksaan lanjut ke atas jongkong itu menemukan barangan runcit seperti Pop Ice pelbagai perisa, Gold Bell Grand, Petis Udang, Abon Sapi Rajawali, Citarasaku (Balado), Kertas rokok Cap Dollar, Frambozen, Kicap ABC, Keropok Blinjo, Jelly Powder Nutrigel pelbagai perisa, Masako, Antaka, Pepsodent, Muntalin, Special UV Whitening dan empat tong gas Petronas (tidak berisi).

Polis Marin berjaya menahan jurangan dan remaja yang cuba seludup masuk barangan runcit di perairan Tawau

Katanya, kesemua barang-barang itu dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini.

”Kita menahan kedua-dua suspek dan kesemua barangan itu dirampas.

”Untuk itu, suspek diarahkan ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM209,934.00 iaitu nilai yang tidak termasuk cukai Kastam.

Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam.

Sumber : borneotoday

Komen