Bangkai gajah dalam sungai

Bangkai gajah dalam sungai

Bangkai gajah yang ditemui dalam sungai di Tawau kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca

BANGKAI gajah Pygmy Borneo ditemui dalam sungai di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau kelmarin.

Bangkai gajah itu ditemui dalam sungai oleh sekumpulan pemancing ketika memancing di kawasan itu selain bahagian leher turut diikat tali.

Difahamkan, gajah terbabit turut ditemui dengan kesan tembakan pada badan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau, Sailun Aris ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mengenai penemuan bangkai berkenaan namun belum dapat memastikan umur serta jantina gajah itu.

“Satu pasukan sudah dihantar ke lokasi 8.30 pagi tadi untuk mengeluarkan bangkai gajah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung penemuan bangkai gajah berkenaan termasuk dakwaan wujud kesan tembakan pada badan haiwan itu.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat mengenai penemuan bangkai gajah terbabit yang turut tular di media sosial sejak semalam, bagaimanapun hanya dapat melakukan pemeriksaan pagi ini.

“Kita dapat maklumat sejak semalam. Pegawai kami sudah berada di lokasi untuk tindakan lanjut dan siasatan masih dijalankan.

“Kita akan lakukan bedah siasat petang ini untuk tentukan punca (kematian gajah),” katanya ketika dihubungi. -hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 11:59 AM

Komen