Baki 23 pakej Pan Borneo Sabah diteruskan

Baki 23 pakej Pan Borneo Sabah diteruskan

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya memberi jaminan baki 23 pakej pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang belum diserahkan kepada kontraktor diteruskan.

Menterinya, Baru Bian, berkata semua jajaran bagi lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu juga kekal, manakala kosnya masih menunggu kajian semula dilakukan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengenal pasti pendekatan atau model terbaik bagi meneruskan baki pakej yang belum dilaksanakan.

“Ia adalah projek terbesar di Sabah dan Sarawak, kita tiada lebuh raya lain di sini, jadi perlu teruskan projek ini termasuk baki pakej belum bermula daripada 35 pakej yang ada.

“Setakat ini hanya 12 pakej yang sudah diagihkan kepada kontraktor,” katanya pada sidang media berkaitan projek Lebuh Raya Pan Borneo, di sini, hari ini.

Baru berkata, menerusi perbincangan dengan Kementerian Kewangan, pelaksanaan 23 pakej selebihnya mungkin dilaksanakan secara berperingkat atau berfasa tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Katanya, Kementerian Kewangan akan melantik perunding bebas bagi mengkaji semula kos projek itu sebelum membandingkannya dengan kos dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu.

“Selepas membuat perbandingan kos, barulah kita berunding dengan syarikat rakan penyampai projek (PDP) untuk menurunkan kos sebab kita tidak boleh merombak perjanjian yang sudah dibuat sebelum ini,” katanya.

Berkaitan masalah pelaksanaan 12 pakej yang sudah diserahkan kepada kontraktor di Sabah, beliau berkata, isu utama kelewatan yang dialami adalah berkaitan pengambilan tanah selain kelewatan syarikat utiliti mengalihkan struktur masing-masing.

Katanya, kerjasama kerajaan negeri dan PDP diperlukan untuk mengatasi isu berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepatkan.

Sementara itu, menjawab tuduhan yang mendakwa lebuh raya berkenaan mungkin dikenakan tol, Baru berkata, perkara itu tidak mungkin terjadi kerana projek Pan Borneo berbeza dengan lebuh raya di Semenanjung.

Kos projek fasa satu Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang bermula pada April 2016 dan dijadualkan siap pada 2021 itu sebelum ini dianggarkan mencecah RM12.86 bilion.

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
thaddius@nstp.com.my

Komen