BAJET NEGERI 2019 PERTAMA KERAJAAN PIMPINAN WARISAN – MEMACU PERTUMBUHAN BERPAKSIKAN RAKYAT

BAJET NEGERI 2019 PERTAMA KERAJAAN PIMPINAN WARISAN – MEMACU PERTUMBUHAN BERPAKSIKAN RAKYAT

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan membentangkan Belanjawan Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran kerajaan Warisan buat kali pertama dengan memberikan tumpuan secara menyeluruh untuk membangunkan negeri dan rakyat Sabah.

Mohd Shafie berkata, Bajet 2019 yang bertemakan Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat itu mengambil kira kepentingan semua pihak dan berlandaskan dengan kewangan yang terbatas serta ekonomi dunia dan negara.

“Pembentangan Belanjawan ini merupakan yang pertama dibentangkan oleh kerajaan Warisan. Apa yang penting ialah kita mahu memastikan supaya usaha dilakukan secara berterusan untuk membela rakyat disemua peringkat sebaik mungkin.

“Sekurang-kurangya diperingkat pertama (Bajet 2019 dibawah kerajaan Warisan) kita akan mengubah satu pendekatan untuk mengukuhkan ekonomi meskipun dari segi kewangan kita agak terbatas dan mencabar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima Laporan Bajet 2019 daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Datuk Pengiran Hasanel Mohd. Tahir di Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Negeri akan membentangkan Bajet 2019 itu pada pukul 3 petang di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, esok.

Mengulas mengenai bajet kali ini, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan beberapa pendekatan baharu termasuk penekanan khusus untuk golongan belia di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya apakah kementerian yang bakal menerima peruntukan paling besar.

“Sama ada ia adalah bajet lebihan (surplus) atau defisit, kita kena tunggu sehingga esok, tapi apa yang penting ia adalah bajet yang berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie menjelaskan, dakwaan mengenai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang kononnya bakal menyertai Gabungan Bersatu Sabah (GBS) seperti laporkan di media sosial beberapa hari lalu hanya spekulasi semata-mata.

“Itu hanya spekulasi mereka. Setakat ini masih ramai yang bersama saya tapi kita tidak tahu mereka (GBS) mungkin banyak duit mahu beli, mungkin betul atau tidak..tapi saya yakin mereka sudah matang,” katanya – SabahNewsToday (8 nov 2018).

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *