Azmin mendahului Rafizi di Sabah

Azmin mendahului Rafizi di Sabah

AZMIN mendahului Rafizi dalam saingan pemilihan PKR di 12 cabang seluruh Sabah, hari ini. – Foto NSTP

KOTA KINABALU: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd Azmin Ali mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli, dalam saingan pemilihan parti itu di 12 cabang seluruh Sabah, hari ini.

Menurut sumber, keputusan pemilihan setakat jam 7 malam ini, Azmin mendahului dengan majoriti 342 undi selepas mendapat 5,113 undi berbanding 4,773 undi diterima Rafizi.

Azmin menang di enam cabang iaitu Libaran, Sandakan, Kalabakan, Sepanggar, Beaufort dan Tawau, manakala Rafizi di lima cabang iaitu Kota Kinabalu, Batu Sapi, Tuaran, Sipitang dan Kota Marudu.

Setakat ini, hanya keputusan di cabang Keningau belum diketahui.

Sementara itu, bagi pemilihan Ketua Cabang, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berjaya mempertahankan jawatannya di cabang Kota Kinabalu.

Christina memperoleh 541 undi manakala pencabarnya, Julian Lai mendapat 106 undi.

Turut mempertahankan kedudukan ialah penyandang Ketua Cabang Sepanggar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Dr Roland Chia Ming Shen.

Beliau memperoleh 751 undi manakala tiga lagi pencabarnya iaitu Ramlan Naim mendapat 347 undi; Datuk Nani Sakam (148) dan Ali Bidin (38), dalam pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, di Batu Sapi, calon wanita, Baby Anne Alsali memenangi jawatan ketua cabang Batu Sapi menewaskan dua calon lain dengan memperoleh 281 undi.

Bekas pemangku ketua cabang bahagian itu menewaskan Abidin Sukor yang mendapat 199 undi dan seorang lagi calon, Umar Baki Aliudin yang memperoleh 185 undi.

Kira-kira 74,000 daripada 150,000 ahli PKR di Sabah layak mengundi pada pemilihan parti itu di 12 cabang seluruh Sabah hari ini manakala selebihnya akan mengundi di 13 lagi cabang esok.

Sementara itu, bagi calon Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar setakat ini dilaporkan mendapat undi tertinggi di cabang Batu Sapi, Tawau, Sepanggar dan Kota Kinabalu, manakala sekadar tempat kelima di Kalabakan.

Pemilihan calon Naib Presiden di Kalabakan menyaksikan Shamsul Iskandar Mohd Akin memperoleh undi tertinggi dengan 499 undi, manakala Nurul Izzah sekadar 244 undi. -sumber bharian

Komen