ASAL-USUL KAMPUNG SUNGAI IMAM TAWAU

ASAL-USUL KAMPUNG SUNGAI IMAM TAWAU

Tahukah anda? Orang yang mula-mula meneroka Kampung (Kg) Sungai (Sg) Imam Tawau dikenali sebagai Imam Salim, seorang tokoh agama terkenal di Daerah Tawau?

Pada 2012, dilaporkan terdapat sebanyak kira-kira 150 buah rumah di kampung terbabit sementara bilangan penduduknya pula menjangkau sehingga lebih 3, 000 orang.

Kg Sg Imam terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar, dikatakan antara kampung tertua di Tawau dan ada pendapat yang mengatakannya sudah berusia lebih 80 tahun.

Imam Salim ataupun Haji Imam Salim Palallo bersahabat baik dengan Penghulu Tawau iaitu Penghulu Abu Bakar, dan tokoh yang mula-mula membuka penempatan di Kg Sg Imam.

Semasa era pentadbiran British, Imam Salim dilantik sebagai Orang Tua atau OT (pertama) di kampung itu dan menjaga hal ehwal orang Islam dari Wakuba sehingga Kalabakan.

Imam Salim berketurunan Bugis Sengkang serta bernikah dengan isterinya yang dikenali sebagai Udui Mallewah berdarah campur iaitu Bugis dan Bulungan.

Pasangan Imam Salim dan Udui dianugerahkan dua anak kandung lelaki, Imam Bacho dan Sulaiman, serta mempunyai dua anak angkat perempuan, Maryam dan Safiyah.

Pada awalnya, kampung ini dikenali sebagai Tanjung Lalang, sebelum diubah menjadi Kg Sg Imam (sempena gelaran Imam Salim yang terkenal sebagai jurunikah semasa hayatnya semenjak 1930-an).

Artikel Asal: Oleh Amir Anuar/ Aaub Sabah (030917)
Sumber Kisah dan Foto: Oleh Cucu Imam Salim, Mahfudz Bacho.

Komen