APMM TAHAN TIGA LELAKI CUBA SELUDUP KELUAR 25 TONG PETROL, 38 GUNI BAJA AMMONIUM NITRAT

APMM TAHAN TIGA LELAKI CUBA SELUDUP KELUAR 25 TONG PETROL, 38 GUNI BAJA AMMONIUM NITRAT

TAWAU: Tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan selepas disyaki cuba menyeludup keluar 25 tong berisi petrol dan 38 guni berisi baja jenis ammonium nitrat di jeti Kinabutan Kecil, dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, semua suspek berusia 32 hingga 49 tahun dipercayai cuba membawa barangan berkenaan ke negara Filipina.

Ketiga-tiga suspek ditahan dipercayai cuba seludup keluar 25 tong berisi petrol dan 38 guni baja ammonium nitrat ke negara Filipina. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

“Ketika pemeriksaan dijalankan kita menemukan 25 tong berisi petrol dan 38 guni berisi baja ammonium nitrat disyaki cuba diseludup ke negara Filipina.

“Ketiga-tiga suspek turut gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa muatan-muatan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya turut menjalankan siasatan terperinci ekoran baja ammonium nitrat adalah bahan yang digunakan untuk membuat bom ikan.

Turut ditemukan 25 tong berisi petrol dipercayai cuba diseludup ke negara Filipina. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

“Pihak daripada Unit Siasatan Jenayah Maritim (USJM) Zon Maritim Tawau akan siasat perkara ini.

“Nilai keseluruhan barangan termasuk pam bot dianggarkan bernilai RM12,000 dirampas dan kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – SabahNewsToday

Komen