Anwar Nafi mahu jadi menteri

Anwar Nafi mahu jadi menteri

KETUA Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kerana mahu menjadi menteri.

Beliau sebaliknya menegaskan, kemenangan pada PRK itu kelak membolehkan beliau memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen selain membantu tugas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, selain Perdana Menteri, keputusan untuk bertanding di Parlimen Port Dickson itu juga mendapat sokongan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain barisan pimpinan tertinggi PKR.

“Tetapi ini ada pula orang kata Anwar Ibrahim tak sabar nak masuk Parlimen nak jadi menteri… bukan nak jadi menteri, cuma nak jadi Ahli Parlimen saja.

“Takkanlah saya nak jadi Ahli Parlimen pun tak layak,” katanya di hadapan kira-kira lebih 1,000 penyokongnya pada program Sambutan Hari Kebangsaan Bersama Rakyat 2018 di Taman Sawit, Balung, Tawau, hari ini.

Hujan lebat sejak awal petang tidak menghalang penyokong Anwar yang pertama kali menjejakkan kaki ke daerah Tawau selepas dibebaskan dari penjara untuk mendengar ceramah hampir 45 minit itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru rakyat supaya menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri walaupun menurutnya terdapat pelbagai cubaan mengeruhkan hubungan antara mereka berdua.

“Ada orang yang nak cucuk-cucuk, gaduh, fitnah dan macam-macam.

“Sekarang saya nak bagi tau kita (rakyat) sudah nobatkan beliau (Tun Mahathir) sebagai Perdana Menteri, kita mesti bersatu, kuat dan sokong beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Sumber: hmetro

Komen