Andi bantu gadis, wanita kesunyian

Andi bantu gadis, wanita kesunyian

PENYANYI, Andi Bernadee, melakukan eksperimentasi sosial dengan memainkan peranan teman lelaki kepada gadis belum berpunya di alam maya. – Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Andi Bernadee, menggunakan gelaran ‘bebi’ bagi memainkan peranan sebagai teman lelaki di alam maya buat gadis yang belum berpunya.

Andi berkata, eksperimentasi sosial itu dibuat bagi membantu mereka yang kesunyian dan tiada tempat untuk meluahkan perasaan.

Biarpun inisiatif yang diambil menerima cemuhan golongan lelaki, Andi tetap memandang positif perkara berkenaan.

“Saya mendapat idea untuk menggunakan gelaran ‘bebi’ bagi menjadi pendengar buat gadis yang belum berkahwin di luar sana. Ramai juga yang memberikan maklum balas positif kerana inisiatif sebegitu bukan sesuatu yang asing di arus teknologi sekarang.

“Biasalah, apa juga perkara yang dilakukan bukan sekadar mengundang reaksi positif, sebaliknya tidak kurang kecaman diterima.

“Eksperimentasi sosial yang dilakukan dengan menyandang gelaran sebagai teman lelaki di alam maya kurang disenangi oleh golongan lelaki. Mereka tidak begitu memahami perkara sebegini. Agak pelik sebenarnya jika lelaki menyukainya kerana mungkin mereka menganggap ia sebagai sesuatu yang remeh dan sebagainya,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang dikenali selepas popular dengan lagu parodi Tak Tun Tuang itu menerima pelbagai mesej peribadi daripada golongan wanita yang belum berpunya, namun tetap meletakkan batas terhadap pendekatan diambil olehnya.

Turut menerima mesej daripada seorang wanita berstatus isteri orang, Andi bagaimanapun memilih untuk tidak memberi sebarang maklum balas bagi mengelakkan sebarang salah faham.

“Ada banyak mesej menarik diterima sebenarnya, tetapi yang paling menangkap perhatian adalah daripada seorang isteri orang yang terlalu mengambil berat. Dia akan bertanya di mana hendak berjumpa dan perkembangan diri sekiranya saya tidak memuat naik Insta Story pada hari berkenaan.

“Bagi saya, ia agak bahaya kerana watak sebagai teman lelaki di alam maya ini hanya gurauan dan tidak seharusnya dipandang serius. Saya memilih untuk mendiamkan diri kerana tidak mahu memberikan tanggapan yang salah kepada wanita itu.

“Saya juga tidak dapat memenuhi permintaan semua peminat yang menghantar mesej peribadi di Instagram. Jadi, saya hanya memilih maklum balas yang diterima secara rawak untuk dijadikan Insta Story,” kata penyanyi kelahiran Sabah itu yang kini meledak dengan lagu Satu Peluang.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Andi baru sahaja selesai merakamkan single terkini yang dijangka berada di pasaran pada bulan depan. –bharian

Komen