ALIJUS LETAK JAWATAN PRESIDEN SAFA

ALIJUS LETAK JAWATAN PRESIDEN SAFA

Alijus Sipil (empat dari kiri, duduk) bersama dua Timbalannya, Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria serta ahli majlis tertinggi SAFA selepas pemilihan pada Kongres Tahunan (Tahun 2018) Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) di Likas Square, Likas Kota Kinabalu pada 25 Ogos lalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Alijus Sipil telah meletak jawatan, kurang dari tiga bulan beliau menjawat jawatan tersebut.

Antara sebab-sebab beliau meletak jawatan adalah kerana ingin menumpukan lebih perhatian terhadap tugasnya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau.

Difahamkan beliau telahpun mengemukakan surat perletakan jawatan ke pejabat Safa pada awal minggu ini.

Alijus memenangi pemilihan presiden bagi penggal 2018-2022 menewaskan Datuk Yusoff Kassim dengan memungut 39 undi berbalas 13 dalam kongres tahunan Safa pada Ogos 25 lalu.

Pemilihan Alijus turut menyaksikan buat pertama kalinya Safa diterajui oleh kalangan bukan pemimpin politik.

Sebelum ini, Hamid Apdal, iaitu adik kepada Ketua Menteri turut mengemukakan perletakan jawatan beliau, tiga hari selepas memenangi pemilihan sebagai Timbalan Presiden Safa.

Perletakan jawatan Hamid bagaimanapun ditolak oleh jawatankuasa tertinggi Safa.

Safa telah dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan yang meruncing dengan gaji para pemain difahamkan kini tertunggak selama empat bulan.

Peminat sukan bolasepak Sabah berharap pihak pengurusan Safa dapat menyelesaikan masalah kewangan tersebut dengan segera agar pasukan kesayangan mereka akan beraksi dengan lebih bersemangat di musim hadapan nanti.-SabahNewsToday

Komen