AKIBAT TEKANAN KEWANGAN DAN MASALAH HUTANG, LELAKI BERTINDAK TERJUN DARI BANGUNAN CUBA BUNUH DIRI DI TAWAU

AKIBAT TEKANAN KEWANGAN DAN MASALAH HUTANG, LELAKI BERTINDAK TERJUN DARI BANGUNAN CUBA BUNUH DIRI DI TAWAU

TAWAU; 27 JANUARI 2020 (Isnin) – Seorang lelaki dipercayai menghadapi tekanan kewangan serta masalah hutang telah bertindak terjun dari tingkat lima bangunan di sebuah pusat beli belah di Jalan Kuhara Tawau, tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Anak Umbuas dalam kenyataannya berkata, mangsa berumur 48 tahun itu mengalami patah kaki kiri dan patah bahu kanan selepas terhempas di atas bumbung sebuah motokar jenis Proton Saga dalam keadaan terbaring di hadapan bangunan terbabit.

Katanya, mangsa kini dalam perhatian doktor pakar dan hasil pemeriksaan awal, pegawai perubatan Hospital Tawau telah mengesahkan mangsa dilaporkan stabil.

Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati bahawa mangsa yang berstatus duda memiliki tiga orang anak itu dipercayai mengalami tekanan kewangan dan masalah hutang dan telah membuat keputusan cuba ‘membunuh diri’ dan bertindak terjun dari tingkat lima bangunan.

Terdahulu, seorang saksi yang juga individu yang menghubungi pihak polis telah memberikan keterangan bahawa terdapat seorang lelaki telah terbaring diatas bumbung sebuah motokar yang mana di dalam kenderaan terbabit terdapat dua perempuan ketika sedang melalui kawasan tersebut.

Katanya, mangsa yang terselamat dari cubaan membunuh diri itu didapati dalam keadaan separuh sedar dan telah dikejarkan ke Hospital Tawau menggunakan Ambulan, manakala dua perempuan yang berada didalam kenderaan terbabit dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Akibat insiden tersebut, motokar terbabit telah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan cermin kanan hadapan pecah.

ACP Peter berkata, Kes tersebut seterusnya disiasat dibawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Credit: BESTAWAUfm

Komen