AirAsia tawar tambang rendah untuk musim perayaan

AirAsia tawar tambang rendah untuk musim perayaan

ANTHONY Loke bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes ketika majlis AirAsia menawarkan tambang rendah sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Menuai dan turut bersama Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam (dua dari kiri) di AirAsia RedQ, KLIA. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

SEPANG: AirAsia menawarkan penerbangan lewat malam dengan tambang rendah tetap bagi memenuhi permintaan perjalanan sempena musim perayaan Pesta Menuai dan Aidilfitri.

Tambang yang ditawarkan bermula daripada RM99 bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar; Kota Bharu; Kuala Terengganu dan Johor Bahru, manakala RM149 dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan RM199 dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.

Tawaran itu tersedia bagi perjalanan antara 31 Mei dan 17 Jun 2019 dan AirAsia juga menawarkan tambang rendah untuk laluan terpilih ke Sabah dan Sarawak bagi perjalanan antara 27 Mei dan 30 Mei 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata syarikat menyediakan lebih 115,000 tempat duduk tambahan dalam tempoh perayaan itu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan mereka membantu kami mendapatkan kelulusan ini.

“Bagi tetamu AirAsia, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan selamat menyambut Pesta Menuai,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya berbesar hati kerana AirAsia meningkatkan kekerapan penerbangannya ketika musim perayaan untuk memastikan harga tambang penerbangan lebih kompetitif dan rendah.

“Penerbangan tambahan dengan tambang tetap ini menawarkan nilai terbaik untuk rakyat Malaysia menempah penerbangan di musim perayaan terutama antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kami percaya kerjasama antara peserta industri dan kerajaan adalah penting untuk menawarkan kadar tambang yang mampu dimiliki oleh semua. Saya berbesar hati kerana AirAsia menyokong inisiatif kerajaan,” katanya.

Penumpang yang melakukan perjalanan sepanjang tempoh berkenaan dinasihatkan untuk tiba lebih awal ke lapangan terbang kerana kesesakan dijangka akan berlaku di pemeriksaan keselamatan dan kaunter daftar masuk.

Selain itu, mereka juga dinasihatkan mendaftar masuk secara dalam talian dan mencetak pas masuk sendiri. Daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih boleh didapati dari 14 hari sebelum waktu pelepasan untuk semua penerbangan AirAsia.

bharian

Komen