Ada tak senang MK berjaya

Ada tak senang MK berjaya

MUHAMMAD Hairi Amin atau MK. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.

PENYANYI rap asal Sabah, MK, tidak dinafikan sangat fenomena ketika ini.

Di seluruh negara, nama penyanyi yang juga anggota kumpulan K-Clique ini menjadi perbualan dan dijadikan idola ramai.

Dalam ramai-ramai pendatang baharu seni suara tempatan, MK berjaya menonjol dengan kelas tersendiri memperjuangkan muzik hip hop.

Boleh dikatakan setiap lagunya kini menjadi siulan baik dewasa mahupun anak kecil.

Namun, biasalah stigma sesetengah masyarakat masih beranggapan penyanyi hip hop membawa pengaruh tidak baik. Apatah lagi ramai kalangan mereka kerap tampil dengan lirik yang terlalu kasar dan penuh sindiran.

Belum lagi dikaitkan dengan kehidupan suka bersosial dan mengunjungi kelab malam. Nampaknya persepsi sebegitu masih belum dapat dikikis daripada segelintir rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Cik Pang harus memuji MK yang membuktikan sebaliknya dengan lebih memfokuskan kepada kualiti muziknya.

Rata-rata peminat muzik sebegitu menyifatkan muziknya sudah setanding hip hop antarabangsa.

Dalam pada itu, ada juga yang mula tidak senang dengan fenomena yang dicipta MK. Macam-macam juga yang Cik Pang dengar mengenai MK ini.

Antaranya kekecohan ketika satu acara apabila MK menunjukkan isyarat lucah kepada peminat. Namun, tidak pasti tindakannya itu mungkin bergurau atau tak sengaja.

Apapun, Cik Pang harap MK akan terus menunjukkan sikap terpujinya yang lebih suka merendah diri dan melayan peminat sama rata.

Begitu juga disampaikan kenalan media Cik Pang yang senang dengan keperibadian penyanyi itu.

Walaupun namanya semakin besar, MK memilih untuk tidak mengupah pengawal peribadi. Dia lebih suka mendekati peminat dan kerap memenuhi permintaan untuk bergambar.

Baguslah jika MK teruskan keperibadian begitu memandangkan dia sendiri masih jauh perjalanan dalam industri.

Cik Pang percaya dia antara pelapis generasi muda mampu membawa muzik tempatan ke peringkat antarabangsa. -hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:01 AM

Komen