Aceh laksanakan hukuman rotan terhadap dua remaja berpelukan

Aceh laksanakan hukuman rotan terhadap dua remaja berpelukan

SEORANG remaja perempuan dirotan di khalayak ramai di Banda Aceh semalam.

BANDA ACEH, Sumatera – Dua remaja dirotan di wilayah Aceh, Indonesia semalam selepas mereka ditangkap berpelukan semasa berada di tempat awam.

Hukuman rotan dilaksanakan terhadap pelbagai kesalahan di Aceh yang terletak di hujung Pulau Sumatera terma­suk berjudi, minum arak, seks sejenis atau seks luar nikah.

Beratus-ratus penonton menyaksikan pelajar universiti itu dan teman lelakinya, kedua-duanya berumur 18 tahun yang masing-masing dirotan 17 kali di luar sebuah masjid di ibu negeri Aceh, Banda Aceh.

Seorang lelaki ber­umur 35 tahun turut dirotan kerana berdua-duaan bersama seorang wanita berumur 40 tahun di sebuah kedai runcit tempatan.

Keempat-empat pesalah itu telah menjalani hukuman penjara selama beberapa bulan sebelum menjalani hukuman tersebut.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah Indonesia yang menguatkuasakan hukum syarak.

“Penduduk di luar Aceh yang menganggap hukum syarak kejam, kini dapat melihat sendiri bahawa ia sebenarnya amat berperikemanusiaan dan bertoleransi,” kata Timbalan Datuk Bandar Aceh, Zainal Arifin kepada wartawan. – AFP

Komen