AADK TAHAN 211 PENAGIH DALAM TEMPOH 10 BULAN

AADK TAHAN 211 PENAGIH DALAM TEMPOH 10 BULAN

TAWAU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah ini merekodkan seramai 211 penagih termasuk empat wanita ditahan menerusi 151 operasi yang dijalankan sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua AADK Tawau, Abdul Ghani Keruput berkata semua mereka ditahan dalam Operasi Pencegahan Dadah Habis-habisan (PDH), Operasi Cegah dan Operasi Sarang di sekitar Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Semporna.

“Sepanjang tempoh itu seramai 294 individu menjalani ujian saringan air kencing namun hanya 211 individu

ditahan kerana positif dadah.

“Daripada jumlah yang ditahan itu seramai 131 individu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 manakala 80 orang lagi mengikut Seksyen 6(3) Akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Makan Malam Bersama Ketua Pengarah AADK Kebangsaan di Pejabat AADK Tawau, semalam.

Jelas beliau seramai 18 individu ditahan berusia 18 tahun ke bawah; 176 berusia 19 hingga 40 tahun; 15 individu berusia 41 hingga 50 tahun serta dua individu berusia 51 tahun ke atas.

Beliau berkata seramai 691 Orang Kena Pengawasan (OKP) yang direkodkan berdaftar di Pusat rawatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan( AADK) Tawau termasuk OKP dari daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu. – SabahNewsToday

Komen