63,750 saman Awas dikeluarkan JPJ dari 1 September hingga 7 November lepas

63,750 saman Awas dikeluarkan JPJ dari 1 September hingga 7 November lepas

Gambar hiasan

MELAKA – Sebanyak 63,750 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi 45 kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dalam tempoh 1 September hingga Rabu lepas (7 November).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, daripada jumlah itu sebanyak 59,340 saman melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan 4,410 saman kerana tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Beliau berkata, kenderaan jenis motokar merekodkan jumlah saman tertinggi atas kedua-dua kesalahan berkenaan iaitu sebanyak 56,532 saman diikuti motosikal (5,263 notis) dan lain-lain (1,955 notis).

“Setakat ini kita mempunyai sebanyak 45 kamera AES di seluruh negara iaitu 29 kamera untuk mengesan kesalahan memandu melebihi had laju manakala 16 kamera mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

“Secara purata kira-kira 1,000 kesalahan melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju dirakam kamera Awas setiap hari dan jumlah berkenaan agak tinggi dan serius kerana dua kesalahan ini antara penyumbang utama kemalangan termasuk kemalangan maut di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Gred KP19 dan AB19 (2018) di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di sini hari ini. – Bernama

Komen