525 tahanan warga Filipina diusir

525 tahanan warga Filipina diusir

SEBAHAGIAN Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina hari ini di Sandakan. – Foto ihsan Majlis Keselamatan Negara

SANDAKAN: Seramai 525 tahanan warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina, hari ini.

Daripada jumlah itu, 403 tahanan lelaki, 102 tahanan wanita, manakala selebihnya kanak-kanak berusia seawal sebulan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof, berkata MKN juga dalam perancangan untuk menghantar pulang seramai 158 tahanan warga Indonesia menerusi pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia, minggu ini.

Setakat ini, katanya, jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diusir ke negara asal bermula awal tahun ini adalah seramai 4,115 orang, termasuk 90 PATI yang diusir melalui lapangan terbang, membabitkan 19 siri pengusiran.

“Ini menjadikan jumlah yang diusir termasuk yang pulang secara sukarela sejak tahun 1990 adalah seramai 581,947 orang.

“Proses penghantaran balik PATI ke negara asal adalah komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sitti Saleha turut mengingatkan semua rakyat di Sabah supaya memberi kerjasama dan bantuan kepada pihak penguat kuasa dalam menangani masalah PATI dengan menyalurkan maklumat serta mengelak daripada menggaji dan melindungi PATI.

Beliau berkata, pihak yang melindungi, menggaji PATI atau membenarkan PATI berada dalam premis mereka melakukan kesalahan serius dan boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002).

“Kita tidak akan berganjak dalam usaha menjadikan Sabah mencapai matlamat sifar PATI dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi keselamatan serta kemakmuran rakyat,” katanya. -Bharian

Komen