5 tahanan PTS lolos, diburu

5 tahanan PTS lolos, diburu

SUSPEK yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, Talam Jafar. – Foto ihsan polis

KOTA KINABALU: Lima lelaki termasuk seorang remaja pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, di sini, semalam.

Lima suspek terbabit adalah warga Filipina iaitu Azlan Abu Bakar Sidik, 15; Sanny Chuan, 21; Talam Jafar, 27; Faisal Hamsali, 36; dan Ibni Anani, 43.

Bagaimanapun, Ibni Anani berjaya ditahan semula.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati terdapat lima tahanan yang melarikan diri dari PTS pada jam 4.55 petang.

“Siasatan mendapati, lima suspek termasuk remaja dipercayai merempuh pengawal keselamatan yang sedang bertugas membuka pintu blok untuk memberi makanan.

“Dengan bantuan beberapa pengawal keselamatan, seorang suspek berjaya diberkas semula manakala empat lagi meloloskan diri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, semakan mendapati, sebelum ini semua suspek ditahan mengikut Seksyen 34 Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan masih dijalankan dan usaha menjejaki empat suspek yang meloloskan diri giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keempat-empat individu ini diminta segera menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian – 088221191/529211, untuk tindakan lanjut,” katanya. – Berita Harian


Komen