46 PATI MENYUSUP MASUK KE TAWAU SECARA HARAM DITAHAN – ESSCOM

46 PATI MENYUSUP MASUK KE TAWAU SECARA HARAM DITAHAN – ESSCOM

TAWAU; 18 MEI 2019 (Sabtu) – Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) Warga Indonesia ditahan selepas dipercayai menyusup masuk ke negara ini secara haram melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu kawasan Sungai Nyamuk, pagi kelmarin.

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan satu hingga 59 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di Batu 8, Jalan Tinagat selepas kawasan berkenaan dikesan menjadi tempat pendaratan dan persembunyian PATI.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom), DCP Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan medianya berkata, bertindak atas maklumat awam, satu serbuan telah dilakukan menerusi Operasi Bersepadu Khas yang diselaraskan ESScom kira-kira pukul 9.30 pagi.

Katanya, seramai 48 orang telah diperiksa. Bagaimanapun, 46 ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki, 15 wanita, 2 kanak-kanak lelaki dan 4 kanak-kanak perempuan.

Menurut DCP Datuk Hazani, Kesemua PATI kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan peraturan-peraturan Imigresen 1963 oleh Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Tawau.

#BESTAWAUfm

Komen