41 RIBU PENDUDUK DUN BALUNG BERDEPAN KRISIS AIR KRITIKAL

41 RIBU PENDUDUK DUN BALUNG BERDEPAN KRISIS AIR KRITIKAL

Hing Lam (kiri) menyampaikan taklimat kepada Osman (kanan) dan Jurutera Jabatan Air Tawau, Robensen Asabri. – Gambar SNT/Media Dun Balung

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal mengesahkan seramai 41,000 penduduk di kawasannya berhadapan krisis air kritikal dan mengakibatkan catuan air dijangka berterusan hingga tahun 2022.

Beliau berkata kapasiti loji air sedia ada yang membekalkan air ke Dun Balung lebih rendah daripada permintaan mengakibatkan catuan terpaksa dilakukan.

Ekoran kejadian itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membangun beberapa prasarana yang dicadang bagi memenuhi keperluan air penduduk untuk jangka masa yang panjang.

“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Air di Tawau, bekalan air lebih rendah daripada permintaan iaitu kurang 16 juta liter sehari untuk di Balung sahaja dan keadaan ini bertambah buruk apabila paras air sungai menyusut.

“Kita tidak perlu cerita air untuk sektor pelancongan atau industri jika air untuk keperluan penduduk pun tak boleh kita penuhi, penduduk sekarang berdepan krisis air kritikal sebab air lebih tiga hari tiada memang kritikal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mendengar taklimat di Loji Jalan Utara yang disampaikan Pengurus Loji Air Utara, Au Hing Lam, di sini hari ini.

Osman berkata antara cadangan jangka pendek yang dimajukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi isu air di kawasan Balung termasuk mendirikan tangki dan pam air di Ranggu, Bukit Queen Hill dan Kongsi 10.

Katanya untuk penyelesaian jangka panjang pula perlu meningkatkan kapasiti loji di Utara dan Cinta Mata sehingga 50 juta liter sehari iaitu 30 juta liter di Chinta Mata dan 20 juta liter sehari di Utara serta perlu membina empangan.

“Empangan perlu dibina untuk meningkatkan kapasiti air ini secepat mungkin dan kita juga cadang satu loji air di Sungai Apas Batu 15 untuk tujuan sama jika kerajaan mahu lihat Tawau maju kita kena lakukan perkara ini.

“Saya bagi wakil rakan-rakan pimpinan di daerah ini meminta agar kerajaan kena beri peruntukan sesuai dengan cadangan yang saya nyatakan untuk menyelesaikan isu air di daerah Tawau dan Balung ini,” katanya lagi.- SabahNewsToday

Komen