4 maut gempa 6.5 magnitud gegar Ambon

4 maut gempa 6.5 magnitud gegar Ambon

Sebuah bangunan pasar tradisional runtuh susulan gempa bumi di Ambon. – Foto Reuters

AMBON, Indonesia: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh selepas gempa bumi melanda kawasan pedalaman di pulau Maluku, hari ini, memusnahkan kediaman dan menyebabkan tanah runtuh hingga seorang mangsa tertimbus, kata pihak berkuasa.

Gempa berukuran 6.5 magnitud melanda, kira-kira jam 8.45 pagi waktu tempatan menyebabkan penduduk yang panik melarikan diri ke jalan raya apabila beberapa bangunan runtuh sekitar kediaman mereka.

Agensi Mitigasi Bencana Alam Kebangsaan dan pejabat pasukan pencari serta penyelamat berkata, dua daripada mangsa yang terbunuh dihempap serpihan bangunan, seorang lagi tertimbus tanah runtuh manakala seorang lagi, seorang wanita meninggal dunia selepas jatuh daripada motosikal ketika cuba melarikan diri ke kawasan tinggi.

“Kesan dapat dirasakan merentas bandar Ambon dan sekitarnya. Ramai terjaga disebabkan gegaran yang dirasakan seperti lori yang lalu,” kata Ketua Bahagian Gempa Bumi dan Tsunami di Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Rahmat Triyono.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku kira-kira 37 kilometer di timur laut Ambon, wilayah Maluku, pada kedalaman 29 kilometer.

Rahmat berkata, kawasan itu dilanda gempa susulan sekurang-kurangnya 24 kali termasuk satu yang berukuran 5.6 magnitud.

Penduduk bandar Ambon yang berjumlah 400,000 orang, dilihat membantu mangsa yang cedera, manakala gambar menunjukkan kediaman yang musnah dengan dinding runtuh menyembah bumi.

Terdapat pesakit yang melarikan diri daripada hospital ketika gempa bumi melanda, memaksa pihak berkuasa terpaksa menyediakan penempatan sementara di luar bangunan. – AFP

Komen