300 pelabur bitcoin rugi RM180 juta

300 pelabur bitcoin rugi RM180 juta

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Lebih 300 individu terpaksa berputih mata apabila pelaburan mata wang bitcoin tidak memberikan pulangan seperti diharapkan, malah individu yang mengasaskan skim tersebut turut melarikan ribuan bitcoin bernilai lebih RM180 juta sejak 2016.

Skim yang didakwa diasaskan tiga individu termasuk seorang produser filem pecah panggung itu bukan sahaja tidak memulangkan pelaburan mangsa, malah bertindak lebih berani dengan membuka skim lain bertujuan mencari mangsa baharu.

Seorang daripada mangsa, Mohd. Alif Basari, 27, berkata, dia mula membeli 20 bitcoin bernilai RM63,000 bermula April sehingga Julai 2016.

“Saya membeli bitcoin tersebut secara berperingkat sebelum melaburkannya dalam skim tersebut, bulan pertama dan kedua saya dapat pulangan seperti dijanji, namun selepas transaksi keempat, mereka mula main tarik tali.

“Apa saya kesalkan, saya turut mengajak rakan sekerja lain untuk melabur dan kini terpaksa berhenti kerja berikutan malu akibat mereka juga sama-sama ditipu,” kata bekas jururawat di sebuah hospital swasta itu ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, di sini hari ini bersama lebih 30 mang­sa lain.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil pula berkata, modus operandi digunakan skim tersebut adalah mengumpul semua bitcoin dibeli mangsa dan memberi pulangan yang dijanjikan dalam beberapa bulan pertama sebelum mula berdolak-dalik selepas empat bulan beroperasi.

“Berdasarkan aduan pi­hak kami te­rima, sehingga kini se­banyak lebih 300 mangsa terlibat de­ngan skim penipuan itu membabitkan jumlah sehingga RM180 juta, namun kita percaya ramai lagi mangsa terlibat dan kerugian sebenar adalah berbilion ringgit,” ujarnya.

Siraj menambah, MCCA turut menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas untuk menilai kebaikan dan keburukan bitcoin sebelum merealisasikan penggunaannya di negara ini.

“Saya juga sarankan kerajaan libatkan pelbagai pihak terma­suk ahli agama serta agensi keselamatan untuk buat kajian dalam kes penipuan ini,” katanya.

Sumber Utusan

Komen