220 NOTIS HADIR KE MAHKAMAH ATAS KESALAHAN MEROKOK DIKELUARKAN DI TAWAU

220 NOTIS  HADIR KE MAHKAMAH ATAS KESALAHAN MEROKOK DIKELUARKAN DI TAWAU

TAWAU; 28 NOVEMBER 2019 (Khamis) – Sebanyak 220 perokok diberi notis kehadiran ke mahkamah oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau selepas didapati merokok di beberapa kawasan larangan di Tawau sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Pegawai kesihatan kawasan Tawau Dr. G Navindran berkata, notis itu dikeluarkan hasil 41 operasi khas melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang dijalankan di sekitar Tawau termasuk Lapangan Terbang dan bangunan-bangunan kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan seramai 75 individu yang merokok di dalam premis makanan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas ditemui di Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau.

Dr. G Navindran berkata, daripada 220 individu itu, 74 individu telah membayar kompaun bernilai 10-ribu 910-ringgit.

Katanya, perokok yang diberikan notis akan diberikan tempoh 90 hari untuk membayar kompaun sebanyak 250-ringgit sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah sekiranya gagal membayar kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut Dr G Navindran, sepanjang tahun ini juga, pihaknya turut melaksanakan program penguatkuasaan pendidikan (Educational Enforcement) di 140 premis makanan di sekitar Tawau bagi memberi kesedaran terhadap orang awam berhubung pelaksanaan undang-undang larangan merokok.

Katanya, 306 premis dikesan memasang tanda larangan merokok manakala 87 premis diberi notis selepas didapati tidak menaikkan poster larangan merokok.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan undang-undang terhadap individu yang merokok di premis makanan akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari depan dan hanya boleh dilakukan di luar jarak tiga meter dari setiap premis makanan.

Jika gagal mematuhi larangan tersebut, perokok bakal berhadapan denda sehingga 10-ribu ringgit atau dipenjarakan sehingga dua tahun.

Sehubungan itu, Dr G Navindran berharap agar masyarakat Tawau khususnya perokok peka terhadap pelaksanaan Penguatkuasaan itu bagi mengelak dikenakan tindakan perundangan.-BESTAWAUfm

#myTawau

Komen